Friday, July 31, 2009

ISU SEMASA: Ke mana perginya Melayu?

Satu topik yang sangat sukar untuk dijawab namun hakikatnya sangat memerlukan jawapan walaupun dalam bukan keadaan segera. Adakah betul slogan yang pernah dipegang oleh UMNO iaitu "kita sudah tidak ada masa lagi" turut bersangkutpaut dengan persoalan ini. Ketika aku sedang menjamah makan tengahari berseorangan, terdengar makcik yang berada disekeliling menyuarakan persoalan " ke mana la agaknya bijak pandai Melayu"? Orang putih pergi belajar di negara lain, tapi penghujungnya akan berbakti kepada tanahair juga". Walaupun sebutan itu dituturkan di dalam bahasa Kedah pekat, namun pengalaman belajar dan bekerja selama 12 tahun di negeri Kedah, membuatkan aku cukup faham maksud persoalan itu.

Memang betul, ke manakah bijak pandai Melayu? Ramai yang telah dihantar ke luar negara untuk mencedok segala ilmu barat, namun tidak ramai pula yang balik untuk mencurahkan ilmu tersebut kepada anak bangsa sendiri. Bidang perubatan mempunyai contoh yang amat jelas. Ramainya pakar Melayu di luar sana, namun kita masih bergantung harap kepada kepakaran dari negara luar. Adakah gaji menjadi persoalan sehinggakan pakar-pakar Melayu ini tidak berminat untuk balik atau adakah beban kerja yang banyak di hospital-hospital kerajaan di Malaysia turut menjadi punca mereka tidak sanggup untuk balik ke sini??.

Selepas membaca dan membelek Majalah Milenia yang baru ku beli, mungkin persoalan ini turut terjawab walaupun harus difahami secara tersirat. Tajuk yang menjadi perhatian kepada majalah itu ialah "Melayu terlalu taksub terhadap hiburan". Sesuatu yang menyedihkan kerana golongan Melayu jugalah yang banyak mengunjungi karnival atau pesta-pesta sebegini apabila diadakan. Malah ada pula golongan yang telah menjadi pelanggan tetap kepada karnival sebegini. Walhal, di mana bangsa lain ketika itu.Kita cukup marah dan meluat apabila pihak lain mempersoalkan ketidakpandaian kita, namun sebelum menjawab persoalan yang dibangkitkan, muhasabah diri serta menilai tahap kepekaan diri sendiri lebih bermakna dari menjawab tanpa fakta yang betul.

Fikir-fikirkan.

No comments: